BERITA SEMASA

Anwar tinjau kesiapsiagaan keselamatan di Pos Dogoton

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan kerja ke Sabah dengan mengunjungi Pulau Banggi bagi meninjau tahap kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia–Filipina..

Lawatan tersebut dilakukan sejurus beliau selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina.

anwar ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Pos Dogoton, Pulau Banggi, Sabah. 9 Mei 2026. SHAHNAZ FAZLIE/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau berkata, kunjungan itu turut melibatkan lawatan ke Pos Dogoton yang merupakan antara pos keselamatan hadapan di perairan utara Sabah.

Menurutnya, pos berkenaan memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Saya diberikan taklimat berkenaan pelaksanaan operasi di sini sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran serta meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan ini,” katanya dalam satu hantaran di Laman Facebook hari ini.

Beliau turut berkata, penugasan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi dan cuaca mencabar memerlukan ketahanan mental, disiplin serta semangat juang tinggi dalam kalangan anggota keselamatan.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas menjaga kedaulatan negara di Pos Dogoton.

“Keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang menjadi benteng keamanan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button