MPT nafi isu komersial dalam kerjasama konservasi gajah dengan zoo Jepun
TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan dakwaan program kerjasama konservasi antarabangsa melibatkan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari dengan Tennoji Zoo mempunyai unsur komersial atau bayaran tertentu.
MPT berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan masyarakat berhubung program melibatkan gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat itu.
Menurut MPT, perjanjian antara kedua-dua zoo terbabit adalah kerjasama “zoo to zoo” dan tidak melibatkan sebarang urusan jual beli atau pembayaran antara pihak terlibat.
“MPT ingin menegaskan bahawa perjanjian di antara ZTNS dan TZO ini adalah perjanjian di antara dua buah zoo (zoo to zoo).
“Tiada sebarang unsur komersial yang melibatkan urusan jual beli atau apa-apa bayaran di antara kedua-dua pihak dalam perjanjian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MPT turut menjelaskan penggunaan istilah B2B (business to business) yang tular di media sosial adalah tidak tepat dan bercanggah dengan semangat perjanjian konservasi tersebut.
MPT berkata, program berkenaan selaras dengan Garis Panduan Standard Zoo Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi program konservasi seperti pertukaran haiwan, pembiakan dalam kurungan, bioteknologi dan reintroduksi hidupan liar.
“Program itu juga telah melalui semua proses serta kelulusan diwajibkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Pihak ZTNS telah menerangkan tentang keperluan minimum untuk menyimpan dan mempamer gajah mengikut Akta 716 secara bertulis kepada TZO,” katanya lagi.
Sebelum penghantaran gajah dilakukan, pihak MPT, ZTNS dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara turut mengadakan lawatan ke Osaka, Jepun pada 6 hingga 10 Oktober 2022 bagi menilai kesesuaian kemudahan serta penambahbaikan diperlukan oleh pihak zoo berkenaan.
Menurut MPT, semua dokumentasi termasuk permohonan permit khas, eksport dan kelulusan daripada pihak berkuasa Jepun serta PERHILITAN telah diperoleh sebelum penghantaran dibuat.
MPT turut berkata , aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan akan terus menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan program itu.
“MPT sentiasa mengalu-alukan dan bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya terdapat keperluan untuk menjalankan semakan atau siasatan lanjut terhadap keseluruhan program kerjasama ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















