BERITA SEMASA

Kerajaan serah mahkamah putuskan tuntutan pampasan pelancong India jatuh lubang benam

PUTRAJAYA – Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan tuntutan pampasan melibatkan pelancong wanita warga India yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihak kerajaan bersimpati dengan keluarga mangsa dan mengakui kes seumpama itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Menurut beliau, urusan tuntutan pampasan perlu diselesaikan menerusi proses perundangan dan diserahkan kepada mahkamah untuk menentukan jumlah sewajarnya.

“Pertamanya kita bersimpati terhadap keluarga atas kejadian berlaku dan saya pasti mereka lega sekarang kerana sijil kematian sudah pun dikeluarkan.

“Untuk urusan tuntutan itu, saya kira mereka perlu selesaikan melalui tuntutan mahkamah dan untuk yang ini, peguam mereka boleh buat tuntutan di mahkamah dan kita serahkan kepada mahkamah putuskan berapa amaun pampasan yang perlu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Tapak Perkhemahan Taman Wetland Putrajaya semalam.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.

Hannah berkata, sijil kematian mangsa juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan keluarga mangsa dijangka pulang ke India terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan lanjut dengannya.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Bandar. Sijil kematian sudah dikeluarkan oleh JPN dan saya tahu ahli keluarga nak berjumpa dengan saya tetapi mereka akan pulang ke India dulu,” katanya lagi.

Sebelum itu, media melaporkan keluarga mangsa, G Vijaya Lakshmi, 48, bercadang menuntut pampasan sewajarnya selain mahu mengadakan pertemuan dengan Hannah serta Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara berkenaan.

Peguam keluarga mangsa, M Partiben dilaporkan berkata, pihaknya berharap pertemuan berkenaan dapat diadakan dalam tempoh dua minggu hingga sebulan selepas sijil kematian dikeluarkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button