Pentadbiran Trump ‘ditempelak’, mahkamah batal tarif global 10 peratus
WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menerima tempelak apabila Mahkamah Perdagangan Amerika Syarikat (AS) memutuskan tarif global sebanyak 10 peratus yang dikenakan adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Keputusan itu sekali gus menjadi tamparan baharu terhadap dasar cukai import diperkenalkan pentadbiran Trump yang sebelum ini menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan perniagaan kecil di Amerika Syarikat.
Menurut laporan Anadolu Agency, panel tiga hakim mahkamah berkenaan membuat keputusan 2-1 memihak kepada sekumpulan perniagaan kecil yang mencabar pelaksanaan tarif tersebut.
Panel hakim memutuskan proklamasi ditandatangani Trump bagi mengenakan tarif berkenaan tidak dibenarkan di bawah undang-undang, sekali gus menjadikan cukai import yang dikenakan terhadap plaintif tidak sah.
Mahkamah turut membenarkan injunksi bagi menghalang pelaksanaan tarif itu selepas saman difailkan oleh negeri Washington bersama kumpulan perniagaan kecil terbabit.
Menurut majoriti hakim, kepentingan awam akan lebih terjamin sekiranya injunksi tersebut terus dikekalkan.
Sebelum ini, Trump cuba melaksanakan tarif global 10 peratus itu selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan usaha awal pentadbirannya berkaitan langkah sama.
Pentadbiran Trump dijangka mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut, namun setakat ini White House masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







