BERITA SEMASA

Kerajaan dapat penangguhan bayar ganti rugi lebih RM30 juta kepada keluarga pastor Raymond Koh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran ganti rugi berjumlah lebih RM30 juta kepada pastor Raymond Koh yang dilaporkan hilang sejak sembilan tahun lalu, serta isterinya, Susanna Liew.

Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan penangguhan itu sehingga rayuan terhadap keputusan saman berkenaan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, kerajaan bersama 12 defendan lain berjaya menunjukkan wujudnya keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan pelaksanaan penghakiman diberikan selaras dengan Aturan 45 Kaedah 11 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Menurutnya, mahkamah juga mendapati tiada prejudis akan dialami oleh Koh dan isterinya sekiranya penangguhan tersebut dibenarkan berdasarkan imbangan keadilan.

“Setelah menimbangkan semua hujahan, mahkamah berpuas hati bahawa permohonan penangguhan ini wajar dibenarkan,” katanya ketika menyampaikan keputusan hari ini.

Sebelum itu, pada 5 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan ganti rugi berkenaan dibayar kepada Koh dan Liew selepas membenarkan saman yang difailkan pasangan itu terhadap kerajaan dan beberapa pihak lain.

Raymond Koh yang juga pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Harapan Komuniti, dilaporkan hilang sejak tahun 2017 dan kes kehilangannya sehingga kini terus menjadi perhatian masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button