
Diddy bersalah tuduhan pemerdagangan seks, terlepas tuduhan lebih berat
NEW YORK – Bintang hip hop terkenal Amerika Syarikat, Sean “Diddy” Combs atau P. Diddy terlepas daripada tuduhan konspirasi pemerasan dan pemerdagangan seks yang dihadapinya sebelum ini.
Dia bagaimanapun didapati bersalah atas tuduhan lebih ringan iaitu berkaitan pelacuran oleh juri persekutuan dalam keputusan perbicaraan lebih 7 minggu oleh Mahkamah Daerah Persekutuan, semalam.
Juri mendapati P. Diddy bersalah kerana menggunakan pengangkutan bagi tujuan pelacuran namun membebaskannya daripada tuduhan konspirasi pemerasan dan dua pertuduhan pemerdagangan seks yang boleh membawa hukuman penjara sehingga seumur hidup.
Peguam belanya, Marc Agnifilo, memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan, sambil berhujah bahawa itu merupakan sabitan pertama P. Diddy dan hanya melibatkan kesalahan pelacuran.
“Ini adalah sabitan pertama beliau dan hanya melibatkan kes pelacuran. Oleh itu, beliau sepatutnya dibebaskan dengan syarat yang sesuai,” katanya lapor media antarabangsa.
Namun, permohonan tersebut ditolak oleh Hakim Daerah, Arun Subramanian, yang menegaskan bahawa P. Diddy sendiri telah mengakui melakukan kekerasan terhadap bekas teman wanitanya, menjadikan beliau tidak layak untuk dibebaskan.
Mahkamah akan menetapkan tarikh hukuman kemudian.
Walaupun berjaya mengelak hukuman minimum mandatori 15 tahun penjara berikutan pembebasan daripada tuduhan pemerdagangan seks, sabitan terhadap kesalahan pelacuran tetap memberi tamparan hebat kepada reputasi beliau yang sebelum ini pernah disenaraikan sebagai bilionair hasil kejayaan dalam industri muzik dan fesyen.
Menurut pendakwa, P. Diddy didakwa menjalankan rangkaian kegiatan tidak bermoral selama hampir dua dekad, mempergunakan kekayaan dan pengaruhnya untuk memaksa pasangan romantiknya menyertai aksi seksual berunsur dadah bersama pekerja seks lelaki, yang berlangsung selama beberapa hari di bilik hotel yang dikenali sebagai “freak-offs”.
Dalam serbuan ke atas beberapa kediaman P. Diddy, pihak berkuasa turut menemui dadah dan lebih 1,000 botol minyak bayi serta pelincir yang didakwa digunakan dalam aktiviti tersebut.
Kes itu dijangka terus mencetuskan perdebatan hangat dalam industri hiburan Amerika dan menambah tekanan terhadap figura berprofil tinggi yang dikaitkan dengan eksploitasi dan keganasan seksual.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








