WHO sahkan lima kes Hantavirus di kapal persiaran, tiga maut
GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan lima kes Hantavirus berkaitan insiden kematian di sebuah kapal persiaran di Lautan Atlantik, manakala tiga lagi kes masih disyaki mempunyai kaitan dengan virus berbahaya itu.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menerima laporan daripada United Kingdom berhubung sekumpulan penumpang yang mengalami penyakit pernafasan serius di kapal persiaran Hondius.
Kapal berdaftar di Belanda itu kini dalam pelayaran dari Cape Verde menuju ke pulau Tenerife di Sepanyol.
“Walaupun insiden ini serius, WHO menilai risiko kepada kesihatan awam masih rendah,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini lapan kes dilaporkan membabitkan tiga kematian, lima kes disahkan dan tiga lagi kes disyaki.
Hantavirus ialah kumpulan virus bawaan tikus yang boleh menyebabkan penyakit serius kepada manusia. Jangkitan lazimnya berlaku melalui sentuhan dengan tikus dijangkiti termasuk air kencing, najis atau air liurnya.
WHO memaklumkan strain virus yang dikesan di atas kapal itu ialah Andes Hantavirus yang berasal dari Amerika Latin dan satu-satunya strain Hantavirus yang diketahui boleh merebak antara manusia dalam keadaan tertentu.
Penularan sebelum ini didapati berlaku melalui hubungan rapat dan berpanjangan seperti dalam kalangan ahli keluarga, pasangan intim serta petugas kesihatan.
Mangsa pertama ialah seorang lelaki yang mula mengalami gejala pada 6 April sebelum meninggal dunia lima hari kemudian. Bagaimanapun, tiada sampel diambil ketika itu kerana simptom yang dialami menyerupai jangkitan virus lain.
Isterinya kemudian menjadi mangsa kedua selepas turun di Saint Helena sebelum mengalami simptom dan meninggal dunia pada 25 April.
Seorang lagi wanita menjadi korban ketiga selepas mula menunjukkan gejala pada 25 April sebelum meninggal dunia tujuh hari kemudian.
Tedros berkata, berdasarkan tempoh inkubasi Hantavirus yang boleh mencecah sehingga enam minggu, lebih banyak kes berkemungkinan dilaporkan.
Sebelum menaiki kapal persiaran itu, dua mangsa pertama dilaporkan mengunjungi Chile, Argentina dan Uruguay dalam lawatan memerhati burung termasuk ke kawasan habitat tikus pembawa Hantavirus.
Pihak berkuasa Argentina kini menjalankan siasatan lanjut berhubung pergerakan pasangan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Argentina akan menghantar 2,500 kit diagnostik ke makmal di lima negara bagi membantu pengesanan kes.
WHO turut memaklumkan kepada 12 negara yang rakyatnya turun di Saint Helena termasuk Kanada, Jerman, Singapura, Sweden, Switzerland, Turkiye dan Amerika Syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








