KPM perkasa pendidikan digital luar bandar di Limbang
LIMBANG – Usaha memperkukuh akses pendidikan dan merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar di daerah ini terus diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Terbaharu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turun padang meninjau sendiri pelaksanaan inisiatif pendidikan digital serta pembangunan infrastruktur sekolah.
Lawatan kerja Fadhlina itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menerusi Program Tindak Susul Parlimen (KPM).
Antara lokasi yang dilawati ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Limbang bagi melihat pelaksanaan Sekolah Model Pembelajaran Digital Luar Bandar (SIMPEL) yang bertujuan meningkatkan akses penggunaan teknologi dan pembelajaran digital dalam kalangan murid serta guru di luar bandar.

Menurut Fadhlina, inisiatif DELIMA Edge yang diperkenalkan di sekolah berkenaan mampu membantu menangani isu capaian internet yang terhad dan tidak stabil di kawasan pedalaman.
Beliau turut melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Limbang bagi meninjau projek pembinaan blok baharu prasekolah, selain mengadakan lawatan ke SK Kuala Penganan untuk meneliti isu infrastruktur sekolah.
Menurut beliau, sekolah yang terlibat dalam Program Tindak Susul Parlimen di Limbang akan menerima pelbagai bantuan termasuk satu unit papan pintar sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, 140 unit tablet daripada Yayasan Didik Negara serta peruntukan RM60,000 bagi memperkukuh bidang kebitaraan digital.
“Bagi peluasan prasekolah pula, naik taraf kelas prasekolah di SMKA Limbang dijangka siap pada Jun 2026, manakala pembinaan dua kelas prasekolah baharu di SK Bandar Limbang hampir siap sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








