GAYA HIDUPRENCANA

Cukai bukan sekadar tanggungjawab, ia pelaburan kehidupan

SETIAP kali tiba bulan Mac, rakyat Malaysia akan menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan masing-masing.

Namun, sukar dinafikan ramai juga mula rasa terbeban apabila perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan menjelaskan bayaran cukai mengikut kadar yang ditetapkan kepada kerajaan.

Di sebalik ‘rasa’ itu, ada satu hakikat yang sering terlepas pandang iaitu hampir setiap kemudahan yang kita nikmati hari ini sebenarnya adalah hasil daripada cukai yang kita bayar.

Hampir setiap kemudahan yang kita nikmati hari ini sebenarnya adalah hasil daripada cukai yang kita bayar. – Foto Hiasan

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), cukai bukan sekadar angka yang ditolak daripada pendapatan, tetapi nadi utama yang menggerakkan pembangunan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Apa yang dibayar tidak hilang begitu sahaja, sebaliknya kembali semula dalam bentuk manfaat yang menyentuh kehidupan seharian kita sama ada disedari atau tidak.

“Lihat sahaja rutin harian kita. Dari saat melangkah keluar rumah menuju ke tempat kerja, kita menggunakan jalan raya yang diselenggara dengan dana awam.

“Lampu jalan menerangi perjalanan pada waktu malam, papan tanda membantu arah tuju, manakala lampu isyarat dan jambatan memastikan keselamatan pengguna. Semua ini bukan muncul secara kebetulan, sebaliknya ia hasil daripada kutipan cukai,” jelas HASiL dalam satu kenyataan.

Dalam bidang pendidikan pula, sumbangan cukai membuka pintu masa depan generasi muda.

Anak-anak bersekolah di sekolah kerajaan dengan yuran minimum, menerima buku teks, bantuan persekolahan dan akses kepada pendidikan tinggi di institusi awam.

Dalam bidang pendidikan pula, sumbangan cukai membuka pintu masa depan generasi muda. – Foto Hiasan

“Semua ini merupakan manfaat yang dinikmati hasil daripada cukai. Tanpa sumber ini, peluang mendapatkan pendidikan berkualiti secara meluas mungkin tidak dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia,” kata HASiL lagi.

Sektor kesihatan pula menjadi antara contoh paling jelas bagaimana cukai melindungi rakyat.

Ibu bapa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan pada kos yang minimum, anak-anak menerima imunisasi secara percuma, manakala ibu boleh melahirkan anak dengan selamat tanpa perlu menanggung kos rawatan yang tinggi.

“Semua kemudahan ini menjadi pelindung kepada jutaan rakyat setiap hari, dibiayai melalui hasil cukai walaupun sering kali tidak disedari oleh masyarakat,” tegas HASiL.

Dalam masa yang sama, keselamatan negara turut bergantung kepada hasil cukai.

Pasukan polis, tentera dan bomba berkhidmat tanpa henti memastikan keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara.

“Keamanan yang dinikmati membolehkan rakyat menjalani kehidupan harian dengan tenang bersama keluarga, satu nikmat yang jarang dikaitkan secara langsung dengan sumbangan cukai,” katanya.

Pasukan polis, tentera dan bomba yang berkhidmat tanpa henti memastikan keamanan dan kestabilan negara turut digerakkan menerusi hasil cukai. – Foto PDRM

Selain itu, pembangunan infrastruktur negara juga tidak dapat dipisahkan daripada peranan cukai.

Lebuh raya, sistem pengangkutan awam, bekalan air bersih dan elektrik memudahkan urusan harian rakyat.

Kemudahan ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.

Selain itu, pelbagai bantuan dan subsidi turut disalurkan untuk meringankan beban rakyat.

Bantuan tunai, subsidi bahan api, minyak masak, gula serta bantuan pendidikan menjadi penyokong penting dalam menghadapi kos sara hidup.

Dalam banyak keadaan, pembayar cukai sendiri atau ahli keluarga mereka turut menerima manfaat ini.

Tidak kurang pentingnya ialah aspek kebersihan dan kesejahteraan komuniti.

Taman rekreasi dan kemudahan awam yang disediakan hasil cukai menjadikan persekitaran lebih selesa dan teratur untuk dinikmati ahli masyarakat. – Foto Hiasan

Perkhidmatan kutipan sampah, penyelenggaraan kawasan perumahan, taman rekreasi dan kemudahan awam menjadikan persekitaran lebih selesa dan teratur.

Perkara yang nampak kecil ini sebenarnya memberi kesan besar kepada kehidupan harian.

Cukai juga menyokong pembangunan sosial negara. Daripada program belia, aktiviti sukan hingga seni dan budaya, semua ini membantu membina masyarakat yang seimbang, harmoni dan berdaya saing.

Akhirnya, persoalan “ke mana perginya cukai kita?” sebenarnya terjawab dalam kehidupan kita sendiri.

LHDN Ibu Pejabat
Gambar Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Cyberjaya.

Daripada diri kita, pasangan, anak-anak hingga ibu bapa, semuanya menikmati hasilnya setiap hari.

Maka, melihat cukai sebagai beban semata-mata mungkin tidak adil. Lebih tepat, ia adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk masa depan keluarga, kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

Cukai Anda, Masa Depan Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button