BERITA SEMASA

Lapan lukisan 1MDB bernilai lebih RM470 juta dijangka dipulangkan tahun ini

PUTRAJAYA – Sebanyak lapan lukisan bernilai tinggi yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka berjaya diperoleh semula menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, perkembangan positif itu dicapai hasil kerjasama erat antara Malaysia dengan beberapa negara, khususnya United States Department of Justice.

Menurut beliau, usaha mendapatkan semula aset berkenaan dilakukan menerusi mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance) yang membolehkan tindakan perundangan dilaksanakan secara rentas negara.

“Sekiranya semua proses berjalan lancar, kita menjangkakan lukisan-lukisan ini dapat dibawa pulang ke negara ini menjelang akhir tahun,” katanya di sini hari ini.

Antara karya seni yang terlibat termasuk hasil pelukis tersohor dunia seperti Pablo Picasso, Salvador Dalí, Henri Matisse serta Claude Monet.

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya turut giat menjejaki hasil jualan sebuah lukisan Monet bertajuk Vétheuil au Soleil yang dilaporkan dijual di Switzerland dengan nilai kira-kira RM114 juta.

“Dana hasil jualan lukisan tersebut kini dalam proses penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan usaha untuk membawanya pulang sedang dilaksanakan melalui saluran perundangan,” katanya lagi.

Beliau menambah, kejayaan mendapatkan semula karya seni tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menjejak serta memulangkan aset yang diseleweng daripada dana 1MDB.

Sebelum itu, empat karya seni bernilai hampir RM800,000 berjaya dipulangkan ke Malaysia dan kini disimpan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebagai sebahagian daripada hasil pemulihan aset negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button