Bertentang adat, pelantikan Faris Johari sebagai Undang Sungei Ujong ke-11 didakwa tidak sah
SEREMBAN – Pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 didakwa tidak sah dan bertentangan dengan aturan adat.
Menurut Datuk Andulika Mandulika Sungei Ujong Tua Lembaga Waris di-Darat, Sazali Mohamed Yasin, individu yang mengeluarkan kenyataan terdahulu berhubung pelantikan itu, iaitu Shaharumzaman Abdul Malek, tidak lagi mempunyai kelayakan kerana telah dipecat pada 20 Mac lalu.
Beliau berkata, surat pemecatan berkenaan disahkan diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 30 Mac lalu.
“Selain itu, seorang lagi individu yang dinamakan dalam kenyataan terdahulu, Zainol Ariffin Ibrahim, turut didakwa tidak layak kerana telah dipecat sejak 28 November 2024, dengan pengesahan rasmi dikeluarkan pada 2 Disember tahun sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama beliau turut mempersoalkan kesahihan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong yang mengeluarkan pengumuman pelantikan tersebut, dengan mendakwa penubuhannya tidak mendapat pengesahan daripada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan serta dibuat tanpa pengetahuan Undang Luak Sungei Ujong.
Menurut Sazali, pelantikan Undang Luak Sungei Ujong perlu memenuhi syarat adat yang ketat, termasuk persetujuan sebulat suara ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir, serta persetujuan semua Datuk Lembaga Adat yang sah, sebelum diisytiharkan oleh Datuk Shahbandar Sungei Ujong.
“Dalam isu pelantikan ini, tiada sebarang persetujuan sebulat suara diperoleh daripada waris Klana Hulu dan Klana Hilir, mahupun daripada Datuk-Datuk Lembaga Adat yang sah,” menurutnya.
Dalam pada itu beliau, menjelaskan bahawa Telaga Undang yang dikaitkan dengan pengumuman pelantikan tersebut bukan lagi pusat rasmi, sebaliknya merupakan kediaman persendirian milik seorang individu yang telah dipecat.
Dakwanya, Telaga Undang itu juga telah ditutup secara rasmi sejak 28 November 2024.
Sehubungan itu katanya, Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong menegaskan taat setia kepada Datuk Klana Petra Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang sah ketika ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




