BERITA SEMASALUAR NEGARASUKAN

Piala Dunia 2026: Persiapan Iran di fasa akhir

TEHRAN – Persiapan pasukan bola sepak Iran kini dalam fasa akhir sebelum mengambil bahagian dalam temasya Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS).

Iran berada dalam Kumpulan G dan dijadual mengharungi semua perlawanan mereka di AS yang menjadi tuan rumah bersama temasya itu dengan Kanada dan Mexico, lapor Al-Jazeera.

Hantaran media sosial Team Melli yang terbaharu semalam menunjukkan para pemain mengambil bahagian dalam sesi fotografi bagi apa yang dipercayai sebagai jersi tuan rumah Iran untuk Piala Dunia.

Beberapa anggota skuad Iran, termasuk penjaga gol utama, Alireza Safar Beiranvand dan pemain sayap, Milad Mohammadi dilihat memakai jersi baharu pasukan dalam hantaran tersebut.

Akaun Team Melli turut memuat naik gambar sesi latihan yang diadakan di Iran sebelum skuad berlepas ke Turki untuk tiga perlawanan persahabatan sebagai sesi pemanas badan menjelang Piala Dunia.

Penyertaan gergasi Asia itu dalam kejohanan tersebut sebelum ini dilihat samar selepas AS dan Israel melancarkan perang ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, kenyataan terkini Presiden FIFA, Gianni Infantino dan pegawai bola sepak Iran telah mengesahkan semula penyertaan negara itu dalam Piala Dunia.

Infantino mengesahkan bahawa Iran akan bermain perlawanan mereka di AS dalam ucapan pembukaannya di Kongres FIFA di Kanada, Khamis lepas.

“Biar saya mulakan dari awal. Sudah tentu Iran akan menyertai Piala Dunia FIFA 2026. Dan sudah tentu Iran akan bermain di AS,” kata Infantino.

Pasukan Iran akan memulakan kempen dalam temasya berkenaan dengan menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun sebelum menentang Belgium di stadium yang sama, 21 Jun.

Perlawanan seterusnya iaitu perlawanan akhir bagi peringkat kumpulan menemukan Iran dengan Mesir yang akan berlangsung di Seattle pada 26 Jun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button