BERITA SEMASAPMX

Kerajaan salur peruntukan RM48 juta bantu pesawah, 240,000 petani terima insentif pembajakan

PUTRAJAYA – Seramai 240,000 pesawah berdaftar bakal menerima manfaat daripada peningkatan insentif pembajakan serta bantuan tambahan bernilai RM48 juta yang diumumkan kerajaan bagi mengurangkan beban kos pengeluaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM200 akan dibayar sebagai wang pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan bagi pesawah meneruskan operasi penanaman padi.

krisis bekalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media Krisis Bekalan Global di Putrajaya hari ini.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tadi bersetuju untuk membayar wang pendahuluan iaitu kadar khas insentif pembajakan kerana mereka terpaksa sewa mesin bajak.

“Program pembajakan itu mesti diteruskan dan mereka perlukan modal. Jadi kita berpendapat, lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi,” katanya pada sidang media Krisis Bekalan Global, di sini hari ini.

Menurut beliau, implikasi kewangan RM48 juta yang telah diluluskan minggu ini akan memberi manfaat kepada 240,000 pesawah berdaftar.

Tambah Anwar, musim kemarau yang lebih panjang daripada biasa di Kedah juga menyebabkan kesukaran peladang dan pesawah.

Justeru, beliau telah mengarahkan operasi pembenihan awan ditingkatkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mempunyai keupayaan relatif lebih kecil membantu proses tersebut.

“Tetapi dalam kalangan pesawah padi, keluhan itu didengar. Kita telah tambah umpamanya bantuan khas insentif pembajakan pada 14 April lalu yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Bantuan itu yang ditingkatkan dari RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah padi ekoran kenaikan harga diesel komersial,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button