BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kuota haji Malaysia 31,600 penuh, 514 tempat diganti serta-merta

MAKKAH – Kuota jemaah haji Malaysia bagi musim ini yang berjumlah 31,600 orang telah diisi sepenuhnya, termasuk penggantian 514 tawaran yang ditolak atas pelbagai faktor.

Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun berkata, penolakan tersebut melibatkan kes kematian, kemalangan, wanita dalam tempoh iddah serta masalah kesihatan.

Menurut beliau, setiap kekosongan yang berlaku akan segera diisi oleh calon lain dalam senarai menunggu, yang lazimnya perlu memberikan maklum balas dalam tempoh singkat serta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan segera.

“Lembaga Tabung Haji sememangnya mempunyai susunan tersendiri bagi menentukan keutamaan individu yang dipilih menggantikan tempat yang ditolak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan setakat minggu ketiga operasi haji, seramai 15,175 jemaah Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci, bersamaan 48 peratus daripada keseluruhan jadual penerbangan.

Daripada jumlah itu, seramai 9,878 jemaah kini berada di Makkah, manakala 5,297 lagi masih berada di Madinah.

Tambah beliau, operasi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berjalan lancar mengikut jadual, dengan 50 penerbangan telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamed Abdulaziz dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz.

Mengulas persiapan menjelang kemuncak haji, beliau berkata segala perancangan operasi Masyair di Arafah dan Mina kini giat dilaksanakan.

“Setakat ini, semua persediaan berjalan seperti dijadualkan dan penyedia perkhidmatan sedang bekerja keras memastikan kemudahan termasuk penginapan berada pada tahap terbaik demi keselesaan jemaah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button