JENAYAH & MAHKAMAH

Ibu tunggal maut jatuh Sungai Betis ketika ekspedisi pendakian di Gua Musang

GUA MUSANG – Hasrat seorang ibu tunggal untuk menyertai ekspedisi mendaki bertukar tragedi apabila wanita itu maut selepas dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam Sungai Betis di Pos Balar, di sini kelmarin.

Kejadian dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 3.21 petang selepas mangsa berusia 56 tahun itu hilang sejak malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan 11 pendaki yang memulakan ekspedisi ke Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed pada 1 Mei lalu.

Menurutnya, ketika melalui kawasan Sungai Betis pada pukul 7.30 malam pada 2 Mei lalu, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.

“Usaha pencarian segera telah dilakukan oleh ahli kumpulan, namun mangsa gagal ditemui pada malam kejadian.

“Mangsa kemudian ditemukan pada pukul 8 pagi kelmarin sekitar 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, mangsa merupakan seorang ibu tunggal yang berasal dari Kuala Lumpur.

Tambahnya, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mayat mangsa dari lokasi kejadian.

“Operasi tersebut berdepan cabaran besar apabila pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki hampir 10 jam ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan pedalaman,” jelasnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button