BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lelaki 42 tahun meninggal dunia akibat strok haba di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia akibat strok haba selepas menyertai acara larian sejauh 30 kilometer di sekitar bandar raya ini dalam kejadian pada 25 April lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian merupakan kes pertama berkaitan cuaca panas di Pulau Pinang tahun ini.

Mangsa dilaporkan menyertai kategori larian 30 kilometer yang bermula pada jam 6.30 pagi dengan laluan melalui kawasan berbukit dan trek hutan sekitar Georgetown.

Mangsa diberikan rawatan kecemasan di lokasi sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang dalam keadaan kritikal.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.08 pagi, 26 April,”  menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan punca kematian dikenal pasti akibat strok haba dengan komplikasi rhabdomyolysis serta kegagalan pelbagai organ.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya individu yang menjalankan aktiviti luar atau sukan lasak dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap tahap kesihatan diri dan keadaan cuaca semasa.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas melalui laman sesawang MetMalaysia serta panduan kesihatan berkaitan cuaca panas di portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button