Sukarelawan GSF 2.0, 10 rakyat Malaysia selamat tiba di Turkiye selepas ditahan rejim Zionis
KUALA LUMPUR – Semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan tentera rejim Zionis di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, selamat tiba di Turkiye awal pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook Rahmat Sumud Nusantara, pesawat yang membawa kira-kira 180 sukarelawan itu dilaporkan mendarat di Istanbul sekitar pukul 3 pagi.
“Alhamdulillah ayahanda Haji ZRA Strim dan 180 sukarelawan sudah selamat mendarat di Istanbul pukul 3 pagi selepas diculik IDF di perairan antarabangsa.
“Sama ada mereka akan meneruskan pelayaran atau pulang ke negara masing-masing akan diputuskan oleh jawatankuasa pemandu (steering committee) Sumud Flotilla,” menurut hantaran tersebut.
Dalam hantaran sama, Rahmat memaklumkan dua lagi sukarelawan masih ditahan oleh tentera rejim dan orang ramai diminta terus menunjukkan solidariti terhadap semua aktivis yang terlibat.
Terdahulu, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 dilaporkan ditahan ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete sebelum dibebaskan di Pelabuhan Lera Petra, Crete semalam.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua aktivis yang ditahan itu kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion dengan menaiki bas yang disediakan pihak Greece.
Menurut beliau, Kerajaan Turkiye menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang bagi membawa pulang 20 aktivis kemanusiaan warganegara Turkiye.
Katanya, kerajaan itu turut mempelawa mana-mana aktivis GSF untuk menaiki penerbangan sama yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion sekitar pukul 10.15 malam waktu Malaysia sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 11.45 malam waktu Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








