BERITA SEMASA

‘Saya dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM’ – Rafizi

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberitahu beliau sudah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan berkaitan usaha sama kerajaan dengan Arm Holdings.

Rafizi dalam hantaran di media sosial berkata, beliau menerima notis berkenaan sekitar pukul 3 petang tadi.

Notis tersebut, katanya, memberitahu beliau perlu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 4 Mei, 10 pagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu laporan telah dibuat secara tiba-tiba kepada SPRM oleh PERKASA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini tidak pernah menunjukkan minat terhadap isu rasuah.

“Dakwaannya, perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan merugikan negara. Apabila ditanya media, wakil PERKASA enggan mengulas lanjut kerana mengakui beliau sendiri tidak begitu memahaminya,” kata Rafizi dalam hantaran di X, hari ini.

“Sejak Februari, kes ini menjadi keutamaan utama SPRM. Tiada motif kewangan. Tiada wang terlibat,” katanya lagi.

Rafizi kemudiannya mendakwa, selepas keterangannya diambil minggu depan, beliau mungkin akan didakwa atas kesalahan pecah amanah kerana didakwa memberikan maklumat tidak tepat atau menyebabkan Kabinet menandatangani perjanjian secara tergesa-gesa.

“Insya Allah, saya sudah bersedia bersama pasukan peguam. Ia akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik kerana ramai pemimpin tertinggi negara akan dipanggil sebagai saksi,” katanya lagi.

Walaupun siasatan sedang berjalan, Rafizi menegaskan bahawa usaha sama dengan Arm Holdings masih diteruskan dengan kerajaan terus mempromosikannya sebagai langkah penting dalam membangunkan keupayaan semikonduktor Malaysia.

Beliau turut menyifatkan siasatan tersebut sebagai satu amaran kepada ahli politik dan penjawat awam lain.

Rafizi kemudiannya berkata, beliau akan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dalam podcast YBM di YouTube pukul 9 malam ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button