10 rakyat Malaysia ditahan Israel dalam serbuan ke atas GSF
KUALA LUMPUR – Seramai 10 rakyat Malaysia disahkan ditahan oleh tentera Israel selepas kapal Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) disertai mereka dipintas dan diserbu dalam satu operasi di perairan antarabangsa berhampiran Greece, awal pagi tadi.
Menurut laporan rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC), insiden itu berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia ketika armada GSF sedang belayar kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza, masih dalam zon pelayaran antarabangsa yang sah di bawah undang-undang maritim.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal-kapal flotilla berkenaan dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Israel sebelum tembakan amaran dilepaskan ke arah delegasi yang tidak bersenjata, selain gangguan frekuensi radio yang menjejaskan komunikasi.
“Sebanyak 22 kapal yang membawa 186 individu dilaporkan telah dipintas, diceroboh dan terputus hubungan, termasuk kapal Saf Saf, Arkham III, Bella Blue, Romantica, Goleta, Eros I, Esplai, Mystere, Magic Boat, Ghea, Snap, Eros, Tam Tam, Nagual, Lapinya, Bianca BCN, Freia, Batolo, Bribon, Marea, Malia dan Holy Blue.
“Daripada jumlah itu, enam kapal dikenal pasti ditahan dan diceroboh melibatkan 10 rakyat Malaysia, antaranya Zainal Rashid Ahmad di kapal Arkham III, selain Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin di kapal Eros I.
“Turut kru yang terlibat ialah Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN), Mohd Redzal Amzah (Freia) serta Muhamad Muhsin Zaidi (Marea),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SNCC turut melaporkan kehadiran puluhan dron tidak dikenali yang dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotilla ketika insiden berlaku, dipercayai menjalankan pemantauan dan gangguan terhadap pergerakan serta komunikasi misi.
Menurut Ahmad Sani, rakaman audio dan visual yang diperoleh menunjukkan pihak Israel menggunakan naratif palsu bagi mewajarkan tindakan serangan, sedangkan flotilla kekal beroperasi di laluan perairan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol maritim.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia terus bersatu serta mendoakan keselamatan semua delegasi misi, khususnya mereka yang kini ditahan dan terputus hubungan.
Pihak berkuasa Malaysia dijangka akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kebajikan rakyat negara ini terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








