Zahidi akan sertai PKR, dakwa ramai lagi akan ikut langkahnya
CYBERJAYA – Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mendakwa “ramai pemimpin lain” daripada parti lamanya akan mengikut jejak langkahnya.
Laporan portal Sinar Harian menyebut Zahidi sebagai berkata, beliau akan menyerahkan borang keahlian PKR pada 4 Feb, dan mendakwa beberapa pemimpin UMNO peringkat kebangsaan turtu berhasrat berbuat perkara sama.
“Dengan saya bakal menyertai PKR secara rasmi pada 4 Feb ini bersama 100 ahli Umno Bahagian Padang Besar, dijangka banyak cawangan parti itu di Padang Besar yang bakal terbubar kelak,” katanya dalam laporan tersebut.
“Ramai orang tanya saya macam mana hendak masuk PKR, termasuk sebilangan pemimpin UMNO Pusat. Ada juga antara mereka hendak masuk PN (Perikatan Nasional). Ini semua sebab mereka tidak bersetuju dengan cara presiden,” kata Zahidi lagi.
Zahidi dipecat daripada UMNO pada November lepas selepas bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau bertindak demikian setelah digugurkan daripada senarai calon parti.
Zahidi bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Padang Besar, dengan hanya memperoleh 1,939 undi dan kehilangan deposit dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh Rushdan Rusmi daripada PN.
Menurut Zahidi, wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan “ramai” pemimpin UMNO dan akar umbi mengenai bagaimana presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan MKT “membersihkan” parti tanpa mengikut prosedur.
Jumaat lepas, UMNO memecat bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Enam lagi – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif; ketua Umno Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Datuk Fathul Bari May Jahaya digantung keahlian selama enam tahun.
Zahidi turut mengkritik tindakan Zahid memecat pemimpin UMNO yang tidak sehaluan dengannya, semata-mata untuk menjamin kedudukannya sebagai presiden parti.
“Mujurlah hakim-hakim di negara ini tidak boleh dipecat Zahid, jika tidak dengan mereka semua pun kena pecat kerana tidak menyokong beliau,” katanya secara sinis, merujuk kepada kes mahkamah yang sedang berjalan membabitkan timbalan perdana menteri itu.