JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak lelaki 10 tahun hanyut dalam longkang masih belum ditemui, SAR diteruskan

KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras dalam longkang di Fasa 3, Puncak Alam, di sini semalam, masih belum ditemui setakat pukul 5 petang tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap mangsa yang dikenali sebagai Khairil Izani Khaizalullinudin itu masih diteruskan oleh pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dihanyutkan hingga ke sungai utama memandangkan ketiadaan perangkap sampah di laluan longkang tersebut.

Menurut beliau, struktur laluan air tanpa halangan itu membolehkan arus deras membawa mangsa lebih jauh tanpa sekatan dan keadaan tersebut menyukarkan usaha mengesan mangsa dalam radius pencarian awal yang tertumpu di kawasan longkang serta saliran berhampiran lokasi kejadian.

“Laluan longkang ini bersambung terus ke Sungai Buloh dan akhirnya ke Sungai Selangor tanpa sebarang perangkap sampah.

“Ini menyebabkan kebarangkalian mangsa dihanyutkan sehingga ke sungai utama adalah tinggi,” katanya memetik laporan Sinar Online.

BACA JUGA:

Kanak-kanak lelaki 10 tahun dikhuatiri lemas, dihanyut arus longkang ketika hujan lebat

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu menerusi talian NG999 pada pukul 7.10 malam sebelum operasi SAR segera digerakkan.

Menurut beliau, mangsa kali terakhir dilihat memakai jersi hijau bernombor lapan serta seluar panjang hitam.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa sedang bermain bola di padang Fasa 3 Puncak Alam bersama dua rakannya yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun dalam keadaan hujan lebat.

“Menurut rakannya, kanak-kanak itu pergi ke longkang berhampiran padang atas tujuan yang tidak dapat dipastikan sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.

“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button