Berita Semasa

4 sekeluarga ‘hilang’ ketika bercuti di Perhentian selamat ditemui

KUALA LUMPUR – Empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian telah selamat ditemui.

Berita gembira itu dikongsi menerusi akaun Facebook Ah Pek yang merupakan bapa kepada dua anaknya yang turut serta dalam percutian itu.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan bagaimana situasi itu berlaku selepas mereka gagal dihubungi sejak 30 September lalu.

“Alhamdulillah ibu mertua, adik ipar lelaki dan dua orang anak saya telah selamat dijumpai.

“Terima kasih pada semua rakan, pihak polis dan semua yang terlibat membantu kes ini sehingga selesai,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, Ah Pek berkata, dia kini dalam perjalanan dari Terengganu menuju pulang ke Kluang, Johor untuk menarik semula laporan polis.

Berhubung dengan keadaan dua anaknya, Ah Pek berkata, dia akan mengemaskini keadaan mereka sebaik pulang ke rumah.

“Bahawasanya kes sudah selesai. Untuk keadaan anak saya sesampainya di rumah akan saya update. Tanpa bantuan anda siapalah saya. Sekali lagi ucapan ribuan terima kasih bagi semua yang membantu, mendoakan dan menyampaikan,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan polis mengesahkan kehilangan mangsa dibuat pengadu pada semalam setelah gagal menghubungi mereka sejak 30 September lalu.

Menurut polis, siasatan telah dijalankan dan mendapati kesemua mangsa yang merupakan dua anak, ibu serta adik lelaki pengadu telah pergi ke Pulau Perhentian pada 29 September lalu dan telah menginap di Senja Bay Resort sebelum mendaftar keluar jam 8 pagi pada 1 Oktober lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button