Boleh kritik tapi jangan sampai fitnah – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya fitnah, penghinaan dan penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial perlu dibendung melalui pengukuhan pendidikan berteraskan nilai akhlak dalam masyarakat.
“Dalam era demokrasi dan kebebasan bersuara di media sosial, terdapat pelbagai pihak yang menyampaikan pandangan, namun tidak semuanya berasaskan ilmu, malah ada yang dipengaruhi emosi, kemarahan atau kepentingan tertentu sehingga mencetuskan persepsi salah,” katanya ketika program Temu Anwar di UCSI College, hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu memerlukan penekanan semula terhadap aspek pendidikan yang membentuk nilai adab, tanggungjawab dan akhlak dalam kalangan masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya mengaibkan atau memfitnah orang lain.
“Dalam dunia demokrasi, dalam dunia media sosial, pelbagai orang bercakap, ada yang tahu, ada yang tidak tahu, ada yang diupah, ada yang marah. Sebab itu jawapan sebenar adalah pendidikan mesti ada nilai akhlak, tak boleh zalim, tak boleh fitnah, tak boleh hina orang,” katanya lagi.
Anwar turut berkata kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyerang peribadi atau menyebarkan tuduhan melampau yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.
“Kalau kita kritik, itu hak. Tapi kalau sampai menghina, memfitnah, itu bukan kebebasan. Kita manusia, di mana akhlak kita, di mana moral kita,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan penyebaran naratif tidak tepat di media sosial boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat, termasuk menggambarkan sesuatu isu secara berlebihan sehingga jauh daripada fakta sebenar.
Anwar turut berkata, pendidikan bukan sekadar melahirkan individu berkemahiran dan berpendapatan tinggi, sebaliknya bertujuan membentuk insan beradab, berakhlak dan bertanggungjawab.
“Usaha membina masyarakat berilmu dan berakhlak memerlukan keseimbangan antara kebebasan, undang-undang serta nilai moral bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















