Kerajaan peruntuk subsidi RM400 juta untuk premis kerajaan guna beras import
BENTONG – Kerajaan mengumumkan peruntukan hampir RM400 juta bagi subsidi beras di premis kerajaan seperti kem tentera, polis dan asrama sekolah untuk menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan beras putih tempatan dalam pasaran.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah tersebut dilihat mampu meningkatkan bekalan beras putih tempatan di pasaran sebanyak lima peratus.
“Beras tempatan tak cukup disebabkan harga beras import naik, ada hotel pun sudah pakai beras tempatan. Lima peratus penggunaan ini (oleh premis kerajaan), kita beri subsidi beli beras import supaya lima peratus boleh dipulangkan, berada lebih di pasaran.
“Keputusan ini hari ini (premis kerajaan) beli hanya beras import…berapa subsidi? Hampir RM400 juta, kerana ia bukan percuma,” katanya dalam ucapanya pada
pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini, malam tadi.
Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, masalah kekurangan beras dan peningkatan harga beras import adalah disebabkan oleh keputusan 18 negara menghadkan eksport beras mereka.
“Untuk lakukan (beri subsidi beras import), politik mesti stabil, ekonomi kena baik dan pelaburan kena datang, barulah ekonomi meningkat, dan bila untung kita boleh agihkan kepada rakyat. Ini yang kita lakukan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan, kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan kekal aktif dalam menyalurkan bekalan beras di kawasan yang terjejas.
“Apabila dengar ada tempat kurang beras, mereka kena hantar. Kalau perlu, Kementerian Kewangan akan tambah peruntukan untuk bawa beras ini. Kita bayar kepada FAMA,” katanya lagi.