RoS kaji penambahbaikan undang-undang kutipan dana awam, tingkat ketelusan NGO
KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang meneliti keperluan penambahbaikan kerangka perundangan termasuk cadangan pelaksanaan garis panduan khusus serta mekanisme audit bebas bagi pertubuhan yang mengutip dana awam pada skala tertentu.
Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) agar selaras dengan perkembangan semasa, khususnya melibatkan pengurusan dana awam.
Menurut beliau, RoS mengambil maklum kebimbangan orang awam susulan beberapa kes penyelewengan dana yang dilaporkan sebelum ini, termasuk membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan nilai jutaan ringgit serta individu berpengaruh di media sosial.
“Laporan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap aspek ketelusan dan integriti pengurusan dana kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau betkata, RoS ketika ini melaksanakan pemantauan melalui beberapa keperluan pematuhan termasuk penyimpanan rekod kewangan lengkap, pembentangan penyata kewangan dalam mesyuarat agung tahunan serta penyerahan dokumen apabila diminta.
“Pemantauan ini meliputi semua bentuk kutipan dana sama ada secara fizikal mahupun melalui platform dalam talian termasuk media sosial,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya merekodkan 314 aduan berkaitan salah guna dana pertubuhan dalam tempoh lima tahun lalu sehingga 31 Mac 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 21,013 pertubuhan dilaporkan telah dibatalkan pendaftaran antara 2019 hingga 2026 atas pelbagai kesalahan.
RoS menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh tadbir urus pertubuhan berdaftar bagi memastikan pengurusan dana awam dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















