Pegawai tentera mabuk rempuh MPV e-hailing, penumpang warga Bangladesh maut
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing sehingga mengakibatkan seorang penumpang warga Bangladesh maut di Lebuhraya MEX, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.38 pagi membabitkan sebuah Perodua Alza dan Ford Fiesta.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan MPV e-hailing.
“MPV berkenaan membawa dua penumpang warga Bangladesh yang baru tiba dari KLIA. Seorang daripadanya maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu MPV turut mengalami kecederaan, manakala pemandu Ford Fiesta serta seorang penumpang wanita dalam kenderaan sama turut cedera dan menerima rawatan di hospital.
“Ujian pernafasan mendapati pemandu Ford Fiesta berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








