Dua bekas pengarah syarikat didakwa tipu pelaburan diesel, gubah wang haram
KUALA LUMPUR – Dua bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menipu pelaburan minyak diesel serta terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Tertuduh, Shamsul Rijal Mohd Yussof, 74, dan Hamidah Ab Hamid, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, Shamsul didakwa memperdaya seorang mangsa sehingga mendorong pemindahan wang berjumlah RM725,000 ke akaun syarikat pada Februari 2024 di Desa Sri Hartamas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Shamsul turut berdepan pertuduhan menerima wang tunai RM20,000 yang dipercayai hasil aktiviti haram pada Mac 2024, di sebuah bank di Jalan Tun Razak.
Sementara itu, Hamidah pula didakwa menerima wang berjumlah RM130,000 daripada akaun syarikat yang sama antara 6 hingga 29 Mac 2024 di sebuah bank di Suria KLCC.
Kedua-dua tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan bersama membabitkan penerimaan wang hasil aktiviti haram sebanyak RM122,000 pada Februari 2024.
Bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), mereka berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda minimum lima kali ganda nilai wang terlibat atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan Shamsul diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin, manakala Hamidah dibenarkan jaminan RM40,000.
Mahkamah menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








