BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kes polis pijak kepala: Teliti fakta sebelum buat penilaian – Saifuddin

PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan berhubung video tular memaparkan tindakan seorang anggota polis yang didakwa memijak kepala suspek dalam kejadian di Kulim, Kedah, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakaman berdurasi 29 saat yang tersebar di media sosial itu tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar.

Menurut beliau, penilaian yang dibuat hanya berdasarkan klip pendek tanpa memahami konteks penuh kejadian adalah tidak adil terhadap anggota penguat kuasa yang terlibat.

“Video yang dilihat itu sangat singkat. Apa yang berlaku sebelum itu? Adakah suspek bertindak agresif? Adakah dia melawan arus atau melanggar kenderaan polis? Itu semua perlu diambil kira,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, video berkenaan mencetuskan reaksi pelbagai pihak apabila memaparkan tindakan anggota polis terhadap seorang suspek yang memakai topi keledar dan dipercayai positif dadah.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya telah mengarahkan Ketua Polis Kedah untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

Jelas beliau, siasatan akan memberi tumpuan kepada sama ada berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika tangkapan dilakukan.

“Sebarang tindakan lanjut termasuk aspek disiplin atau rujukan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) hanya akan diputuskan selepas laporan lengkap diperoleh,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button