Amar Baharin, Amyra Rosli timang cahaya mata ketiga
KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti, Amar Baharin dan Amyra Rosli meluahkan rasa syukur apabila mereka selamat menimang cahaya mata ketiga, semalam.
Berita gembira itu dikongsikan Amar menerusi hantaran di Instagram sambil memaklumkan proses kelahiran isterinya berjalan lancar dan keadaan ibu serta bayi mereka kini baik.
“Alhamdulillah. Dengan izin Allah, isteri saya telah selamat melahirkan. Bayi sihat, ibu pun sihat dan kini sedang berehat dan melalui proses pemulihan,” katanya.
Dalam hantaran sama, Amar turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, sahabat dan orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.
“Terima kasih buat keluarga, sahabat dan semua yang mendoakan kami. Semoga setiap doa yang baik Allah balas dengan kebaikan juga buat kalian,” kongsinya.
Pelakon itu turut menitipkan doa agar cahaya mata mereka dikurniakan kesihatan, keimanan serta akhlak yang baik dan membesar sebagai anak soleh.
“Ya Allah, berkatilah anak kami ini. Peliharalah dia, kurniakan kepadanya kesihatan, iman dan akhlak yang baik.
“Jadikanlah dia anak yang soleh, penyejuk hati buat ibu dan ayahnya, serta sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan-Mu. Amin,” ujarnya.
Bagaimanapun, Amar tidak mendedahkan nama atau jantina cahaya mata terbaharu mereka.
Namun, perkongsian foto belon berwarna biru bersama papan tanda ucapan selamat datang memberi bayangan bahawa pasangan itu mungkin dikurniakan bayi lelaki.
Amar dan Amyra mendirikan rumah tangga pada 11 November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum ini iaitu Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



