BERITA SEMASALUAR NEGARA

Putera Mateen kongsi potret sulung keluarga, ucap syukur atas kelahiran Puteri Zahra

KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari menyambut kelahiran cahaya mata pertama, pasangan Diraja Brunei, Paduka Seri Pangiran Muda Abdul Mateen dan isteri, Paduka Seri Pangiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam akhirnya berkongsi potret sulung keluarga mereka kepada umum.

Putera Mateen menerusi hantaran di Instagram malam tadi memuat naik gambar baginda mendukung puteri sulung, Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah yang turut dikenali sebagai ‘Princess Zahra’.

Dalam hantaran sama, baginda menzahirkan rasa syukur serta merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan Jerudung Park Medical Centre (JPMC), Brunei atas penjagaan dan sokongan yang diberikan sepanjang proses kelahiran.

Putera Mateen dan Anisha melangsungkan perkahwinan pada Januari 2024.

“Beta dan Anisha sangat bersyukur dengan kredibiliti pasukan di JPMC yang luar biasa atas penjagaan serta sokongan, selain menghargai segala ucapan diberikan,” titah baginda.

Perkongsian yang dimuat naik kira-kira pukul 9.30 malam itu kini meraih lebih 621,000 tanda suka serta 5,639 komen di Instagram.

Terdahulu, Anisha Rosnah dilaporkan selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 8.50 pagi, Ahad lalu.

Putera Mateen merupakan anak ke-10 dan putera keempat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hasil perkahwinan baginda dengan bekas isteri, Mariam Abdul Aziz.

Sementara itu, Anisha Rosnah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan nama kepada cucunda baginda.

Beliau turut berkongsi petikan laporan Radio Televisyen Brunei (RTB News) yang menyatakan Kerabat Diraja Brunei merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu ketika kelahiran Puteri Zahra, selain berterima kasih atas perutusan tahniah dan ucapan selamat yang diterima.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button