Kapal MPMS kedua Maritim Malaysia dijangka diterima awal 2028
PUTRAJAYA – Perolehan Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kesiapsiagaan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam mendepani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan MPMS Kedua bukan sekadar penambahan aset, sebaliknya menjadi penggandaan keupayaan operasi agensi itu dalam melaksanakan penguatkuasaan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
“Landskap keselamatan maritim ketika ini menuntut Maritim Malaysia memiliki platform operasi yang mampu bertindak pantas, fleksibel serta berdaya tahan tinggi di laut lepas.
“Perolehan ini memberi kelebihan kepada Maritim Malaysia dalam melaksanakan rondaan, penguatkuasaan undang-undang serta operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dengan lebih efisien,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keupayaan MPMS yang bersifat pelbagai guna membolehkan Maritim Malaysia bertindak dalam pelbagai situasi operasi termasuk penguatkuasaan serta pengurusan bencana maritim.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan kemajuan pembinaan MPMS pertama yang kini mencapai 68.91 peratus sebagai petunjuk positif terhadap kelancaran
pelaksanaan projek tersebut.
“Prestasi semasa yang mendahului jadual membuktikan keupayaan rakan strategik dalam memastikan projek ini berjalan lancar, sekali gus memberi keyakinan bahawa kedua-dua kapal dapat disiapkan lebih awal,” ujarnya.
Terdahulu, kontrak berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenklsmail Kaptanoglu di sini hari ini.
Majlis menandatangani kontrak perolehan kapal tersebut disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perolehan MPMS kedua itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Kelima (RMKe-12, RP5) 2025.
Kontrak pembinaan kapal itu dianugerahkan kepada Desan Shipyard dengan nilai AS$83.75 juta, melibatkan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Rosli memaklumkan pihaknya menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara sebagai platform memperkenalkan keupayaan strategik agensi kepada umum.
“Penyertaan ini bukan sekadar pameran, tetapi menjadi medan penting untuk memperluas jaringan kerjasama, khususnya dalam aspek teknologi, keupayaan aset laut dan udara serta perkongsian kepakaran bagi mempertingkat keberkesanan operasi di perairan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















