BERITA SEMASA

Muhammad Suffi dilantik Pengarah Maritim Pulau Pinang

PULAU PINANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang semalam mengumumkan pelantikan Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli sebagai Pengarah Maritim negeri.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah penting memperkukuh kesiapsiagaan dan kepercayaan rakyat terhadap Maritim Malaysia.

“Ini bukan sekadar pertukaran tampuk kepimpinan, ia adalah strategi untuk memperkukuh kesiapsiagaan kita dalam menjaga keselamatan perairan negara.

“Kepimpinan yang mantap akan memastikan kecekapan operasi dan kepercayaan rakyat terus terpelihara,” ujarnya pada Majlis Serah Terima Tugas di Dewan Perkasa, Maritim Negeri Pulau Pinang di sini.

Dalam pada itu, Mohd Rosli turut menzahirkan penghargaan kepada mantan pengarah, Kepten Maritim Razali Kasim atas kepimpinan cemerlang yang menyaksikan pelaksanaan pelbagai operasi bersepadu dan sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia yang berjaya menarik perhatian nasional.

Katanya, pelaksanaan inisiatif Teras Tujuh pelan strategik Maritim Malaysia akan terus diperkukuh di bawah kepimpinan baharu.

Ia meliputi aspek seperti pemerkasaan struktur operasi, pembangunan modal insan dan peningkatan penglibatan komuniti maritim secara menyeluruh.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Kepten Muhammad Suffi bukan tokoh yang asing dalam dunia penguatkuasaan perairan negara.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya yang memikul peranan penting dalam keselamatan persempadanan dan pendataan maritim.

Sementara itu, Kepten Razali akan meneruskan khidmat bakti beliau di Ibu Pejabat Maritim Malaysia sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Protokol dan Kerohanian.

Pelantikan Kepten Muhammad Suffi disambut positif dalam kalangan warga Maritim dan dijangka membawa nafas baharu kepada misi keselamatan perairan Pulau Pinang yang terus menjadi antara nadi penting laluan perdagangan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button