JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia tahan 5 nelayan asing, rampas 2 bot ikan bernilai lebih RM1 juta

LANGKAWI – Lima nelayan asing termasuk dua tekong ditahan selepas dua vesel nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Langkawi, semalam.

Agensi Penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan semua suspek berusia antara 32 hingga 67 tahun itu dalam rondaan rutin beberapa operasi termasuk Op Aman, Op Tiris 3.0, Guard 5.0, Op Khas Tanjung 2 dan Op Khas Pagar.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata, tangkapan dibuat kira-kira 8.2 batu nautika barat laut Tanjung Chinchin pada jam 2.45 petang ketika kedua-dua vesel nelayan tempatan itu sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit dikendalikan dua tekong bersama lima kru warga Thailand yang berusia antara 32 hingga 67 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 (Malaysia) kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan dalam jarak kurang 15 batu nautika dari pantai.

Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Malaysia).

Romli berkata, nilai rampasan keseluruhan termasuk dua bot, peralatan menangkap ikan dan barangan berkaitan dianggarkan melebihi RM1 juta.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus mempergiatkan rondaan bagi mengekang aktiviti pencerobohan perairan negara,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button