Dua wanita diselamatkan dalam kebakaran gerai di Pendang
PENDANG – Tindakan pantas dua pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan dua wanita dalam kejadian kebakaran sebuah gerai makan di Felda Sungai Tiang, di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.15 petang itu membabitkan sebuah gerai di medan selera berhampiran Masjid Al Falah, dipercayai berpunca daripada hos gas yang tercabut ketika proses memasak.
Menurut maklumat, dua pegawai bomba terbabit, Muhammad Athir Maula Esaha dan Mohammad Anas Elyas kebetulan berada di lokasi bagi membeli makanan serta menyiapkan tugasan berkaitan pertandingan Kadet Bomba peringkat negeri Kedah.
Suasana bertukar cemas apabila mereka menyedari api marak dari salah sebuah gerai, sebelum segera bertindak menjalankan operasi menyelamat.
Mohammad Anas dalam perkongsian di media sosial memaklumkan, pada awalnya api disangka berpunca daripada aktiviti memasak biasa, namun pemeriksaan mendapati kebakaran berlaku secara tiba-tiba akibat hos gas yang tercabut.
“Api marak di bahagian hadapan pintu sehingga menghalang laluan keluar, manakala pintu kabin pula terkunci menyebabkan dua mangsa terperangkap dalam keadaan panik,” memetik Buletin TV3 online.
Kedua-dua pegawai itu bertindak membawa keluar mangsa ke kawasan selamat sebelum melaksanakan operasi pemadaman secara taktikal menggunakan alat pemadam api yang terdapat di lokasi.
Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh singkat dan hanya membabitkan bahagian dapur gerai berkenaan.
Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








