BERITA SEMASA

Ops Mulia: KDN rampas lebih 6,000 bahan al-Quran langgar piawaian

KLANG – Sebanyak 6,620 unit teks dan bahan al-Quran yang didapati melanggar piawaian telah dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Ops Mulia dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Sitaan itu hasil pemeriksaan ke atas 1,758 premis di seluruh negara dengan nilai penguatkuasaan berjumlah RM378,171.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi khas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) KDN itu bertujuan memastikan teks serta bahan al-Quran di pasaran mematuhi standard yang ditetapkan.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap naskhah atau mushaf al-Quran yang mengandungi kesilapan atau tidak mematuhi piawaian pihak berkuasa agama.

“Sebarang perubahan walaupun pada baris atau huruf boleh membawa maksud berbeza, justeru integriti mushaf perlu sentiasa dipelihara.

“Sepanjang tempoh Januari hingga 31 Mac lalu, sebanyak 44 kertas siasatan turut dibuka bagi tindakan lanjut termasuk pendakwaan atau kompaun,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Pemurnian al-Quran KDN di sekitar perairan Pelabuhan Klang, hari ini.

Jelas Saifuddin, penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada bahan bercetak, malah melibatkan mushaf dalam bentuk digital dan audio termasuk yang dipasarkan melalui platform e-dagang.

Tambahnya, mushaf yang mempunyai kod bar turut dipantau bagi memastikan ketepatan kandungan serta kelulusan daripada pakar dan ilmuwan Islam, selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin memaklumkan sebanyak 8,672 teks dan bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta telah dilupuskan melalui proses pemurnian yang ketat termasuk pelepasan bongkah seberat 1.5 tan ke dalam laut.

“Pelupusan dilakukan melalui beberapa peringkat seperti pengoyakan, pengisaran, penghancuran dan pembakaran sehingga menjadi bongkah.

“Bongkah abu itu kemudian dilepaskan ke laut mengikut garis panduan ditetapkan bagi memastikan kesucian al-Quran terus terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button