Krisis Asia Barat: Tiada jemaah haji tolak tawaran, yakin jaminan keselamatan
KUALA KANGSAR – Tiada jemaah haji Malaysia yang menarik diri daripada menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M meskipun berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, situasi itu membuktikan keyakinan jemaah terhadap pelbagai jaminan terutamanya aspek keselamatan serta perkhidmatan diberikan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Saya sudah bertemu dengan ramai jemaah dalam Kursus Perdana Haji (KPH). Semua jemaah berada dalam ‘mood’ yang baik dan kita tak terima (laporan) pun ada yang menolak.
“Alhamdulillah, maknanya selepas mereka menerima visa Nusuk dan ada krisis tenaga global, semua jemaah haji kita yakin dengan keselamatan perjalanan dan juga perkhidmatan ditawarkan oleh TH,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, di sini hari ini.
Dr Zulkifli berkata, Selangor mencatatkan bilangan jemaah haji tertinggi iaitu seramai 8,202 jemaah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha memperkemaskan penyampaian maklumat berkaitan perkembangan di Asia Barat kepada bakal jemaah turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan Kementerian Komunikasi.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil termasuk merangka pelan komunikasi yang lebih menyeluruh melibatkan TH.
Katanya, isu berkaitan jemaah haji juga telah dibincangkan di peringkat Kabinet dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), selain melalui penubuhan pasukan petugas khas di bawah TH.
“Kita mahu memastikan naratif haji yang disampaikan menekankan perpaduan dan kebaikan, selain memberi keyakinan kepada jemaah.
“Kerjasama antara kementerian juga semakin kukuh dan di peringkat TH serta Hal Ehwal Agama, kita terus memperkemaskan pendekatan komunikasi sedia ada,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








