Tragedi bot karam bawa pelarian Rohingya di Laut Andaman tidak berlaku di perairan Malaysia
LANGKAWI – Tragedi bot karam yang membawa kira-kira 250 pelarian disyaki warga Bangladesh dan Myanmar di Laut Andaman baru-baru ini tidak berlaku dalam perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, ia bukan berada di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya sememangnya menerima maklumat berhubung insiden itu dan turut memohon kerjasama maklumat risikan daripada negara jiran sekiranya terdapat sebarang perkembangan.
“Sebarang operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden di laut adalah tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian, selaras dengan peraturan serta konvensyen maritim antarabangsa yang sedang berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat laporan berkaitan mangsa hanyut atau penemuan mayat memasuki perairan negara, Maritim Malaysia akan segera mengatur gerak aset bagi melaksanakan CARILAMAT di kawasan dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 250 individu termasuk kanak-kanak, dikhuatiri hilang selepas sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya dan warga Bangladesh karam di Laut Andaman, baru-baru ini.
Difahamkan, bot berkenaan yang berlepas dari Teknaf di selatan Bangladesh sedang dalam perjalanan ke Malaysia, sebelum dilaporkan karam akibat angin kencang, laut bergelora dan kesesakan.
Mohd Rosli berkata, setakat ini Maritim Malaysia Kedah dan Perlis tidak mengaktifkan Op Guard namun sebagai langkah mitigasi dan kesiapsiagaan, aset-aset berkaitan sudah ditempatkan dan ditugaskan di sekitar perairan utara Pulau Langkawi bagi tujuan pemantauan.
Beliau berkata, pemantauan turut menggunakan aset radar RSS Tanjung Kemarung bagi mengesan sebarang maklumat awal di perairan sempadan negara supaya ia dapat ditangani dengan segera.
“Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan serta menjejaskan persepsi terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















