AGAMABERITA SEMASA

TH sahkan operasi haji siap sepenuhnya, penerbangan pertama bermula esok

SEPANG – Tabung Haji (TH) mengesahkan persiapan bagi musim haji 1447H/2026M telah mencapai tahap penuh dengan penerbangan pertama jemaah Malaysia dijadualkan berlepas seawal pagi esok.

Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Mohd Norber Kassim berkata, kesiapsiagaan itu meliputi keseluruhan operasi di tanah air dan Tanah Suci termasuk pengurusan jemaah, logistik, penerbangan serta penugasan petugas.

“Secara keseluruhan, semua sektor telah bersedia sepenuhnya, walaupun mungkin terdapat sedikit pelarasan mengikut perkembangan semasa,” katanya selepas sesi lawatan media operasi haji semalam.

Menurutnya, operasi di tanah air melibatkan lapan stesen dengan Sepang sebagai hab utama selain tujuh lagi stesen di seluruh negara.

Beliau memaklumkan, penerbangan pertama dijadualkan berlepas pada pukul 4 pagi esok dengan waktu lapor diri jemaah bermula 10 malam ini.

Seramai 284 jemaah akan berlepas menggunakan pesawat Malaysia Airlines manakala 357 lagi menaiki Saudia Airlines.

haji
Operasi di tanah air melibatkan lapan stesen dengan Sepang sebagai hab utama selain tujuh lagi stesen di seluruh negara.

Jelasnya, proses bermula di stesen Movenpick Hotel & Convention Centre melibatkan urusan bagasi, semakan dokumen dan pemeriksaan keselamatan sebelum jemaah dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur melalui laluan khas.

“Jemaah akan melalui semua proses termasuk kaunter pasport, timbangan bagasi, mendapatkan pas masuk serta taklimat sebelum berlepas,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Tambah beliau, TH turut menyediakan latihan dan bimbingan kepada petugas haji termasuk yang bertugas di Tanah Suci bagi memastikan kebajikan jemaah sentiasa terjaga.

Mengulas situasi konflik di Asia Barat, Mohd Norber berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi termasuk aspek keselamatan, perlindungan insurans serta pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“TH sentiasa memantau perkembangan semasa dan mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara serta pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, pelan operasi akan disesuaikan dari semasa ke semasa dengan fokus utama memastikan kebajikan dan kelancaran ibadah jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Dalam pada itu, TH menasihatkan bakal jemaah supaya memberi perhatian kepada aspek kesihatan, memperbetulkan niat serta mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines bagi membawa jemaah haji Malaysia tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button