PRK Pelangai: Pembangunan mudah dilaksana jika calon Kerajaan Perpaduan menang – Ismail Sabri
BENTONG – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda pembangunan di Pelangai akan diteruskan jika rakyat memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecik (PRK) Pelangai, 7 Oktober ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, adalah penting bagi pengundi memilih calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan bagi memudahkan kerja-kerja pembanguan tersebut dijalankan.
Tambahnya, dengan mengundi calon BN yang juga anak peneroka Felda, permasalahan penduduk tempatan akan mudah didengari, sekali gus dapat diselesaikan dengan mudah.
“Yang penting kalau ada wakil dari BN boleh teruskan kerja pembangunan di sini, tapi kalau pembangkang yang menang sebaliknya. Walau dua calon dalam kampung yang sama tapi kalau boleh pilih yang boleh membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni penduduk tempatan di Pasar Pagi Felda Chemomoi, Bentong hari ini bersama Amizar.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Pilihan Raya semalam yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ismail Sabri berkata, jentera BN perlu berkerja keras sekiranya PRK diadakan.
“Keputusan di Kemaman dari segi perbezaan di Kemaman kalau ada PRK kita kena kerja lebih kuat kerana di sana mereka ada kelebihan di bawah kerajaan negeri pembangkang.
“Kalau kerja kuat apapun tidak ada perpecahan dalaman,” ujarnya lagi.