JENAYAH & MAHKAMAH

Penjawat awam rugi lebih RM53,000 terperdaya tiga penipuan berbeza

KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam kerugian lebih RM53,000 selepas menjadi mangsa tiga penipuan berbeza dalam tempoh kurang seminggu, bermula dengan tawaran jualan kereta di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 8 April lalu apabila mangsa tertarik dengan iklan jualan kenderaan di Facebook.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat enam transaksi pembayaran ke lima akaun bank berbeza sebelum mula mengesyaki dirinya ditipu.

“Selepas itu, mangsa cuba mendapatkan bantuan menerusi Facebook dan berhubung dengan individu yang mendakwa sebagai pegawai penyiasat jenayah komersial.

“Bagi menyelesaikan isu pembelian kereta tersebut, mangsa dipujuk untuk membuat tiga lagi transaksi ke tiga akaun berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam masa sama mangsa turut cuba mendapatkan pinjaman dalam talian untuk menampung kerugian, namun sekali lagi diperdaya melalui skim pinjaman tidak wujud.

“Akibatnya, mangsa membuat 10 lagi transaksi ke tiga akaun berbeza, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM53,035,” katanya lagi.

Menurut beliau, mangsa akhirnya menyedari ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada jam 4.29 petang semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran dalam talian yang mencurigakan serta tidak mudah terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button