BERITA SEMASA

Malaysia–Bangladesh perkukuh hubungan pendidikan tinggi dalam bidang penyelidikan, TVET

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneroka potensi kerjasama strategik bersama Bangladesh dalam memperkukuh bidang pendidikan tinggi, merangkumi penyelidikan, mobiliti pelajar serta pembangunan akademik.

Dalam satu kenyataan, KPT memaklumkan potensi kerjasama berkenaan susulan kunjungan hormat delegasi Bangladesh ke atas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir di Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini, pada pagi ini.

Delegasi berkenaan diketuai Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara merangkap Menteri Buruh dan Pekerjaan Bangladesh, TYT Ariful Haque Choudhury serta Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, TYT Dr Mahdi Amin.

“Pertemuan tersebut bertujuan membincangkan pelbagai potensi kerjasama antara Malaysia dan Bangladesh dalam bidang pendidikan tinggi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Antara bidang yang dibincangkan termasuk penyelidikan berimpak tinggi, pertukaran pelajar dan kakitangan akademik, serta kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, turut dibincangkan ialah potensi kerjasama antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan University Grants Commission of Bangladesh.

Kerjasama berkenaan melibatkan usaha memperluas peluang penawaran biasiswa kepada kakitangan akademik Bangladesh yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.

“KPT turut menyatakan kesediaan untuk menawarkan kerjasama dalam bidang latihan kepimpinan melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebagai usaha memperkukuh kapasiti kepimpinan pendidikan tinggi di peringkat serantau,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button