BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tegur lelaki sedang minum, pengawal keselamatan maut dipukul

KLANG – Tindakan seorang pengawal keselamatan menegur lelaki yang sedang minum bertukar tragedi apabila mangsa maut selepas dipukul dalam kejadian di sebuah pondok keselamatan di Bandar Bukit Raja, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 1 pagi ketika mangsa berusia 40 tahun sedang melakukan rondaan.

Menurut beliau, mangsa menegur suspek yang sedang minum bersama rakannya sebelum berlaku salah faham yang membawa kepada pergaduhan.

“Perselisihan itu bertukar menjadi pergaduhan dan mangsa diserang menggunakan objek tumpul,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 4.18 pagi ketika menerima rawatan.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an kira-kira jam 10 pagi di kawasan Bukit Raja bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sebatang besi pengunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian. Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah,” ujarnya.

Suspek yang bekerja sebagai penyelia pembinaan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan Malaysia kerana membunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button