UMNO gantung keahlian Noh Omar selama enam tahun
KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar mengesahkan keahlian beliau dalam dalam UMNO digantung selama enam tahun.
Beliau bagaimanapun berkata, beliau lebih rela dipecat daripada dikenakan penggantungan tersebut.
“Dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi tadi diumum saya digantung selama enam tahun. Saya kata ‘no’. Jangan gantung saya, pecat saya lebih baik.
“Untuk apa saya berada dalam parti yang sudah lari dari perjuangan. Buat apa saya ada dalam parti yang saya berkorban sejak menjadi ahli parti tahun 1976.
“Saya berkorban untuk parti saya hari ini tetapi nampaknya pada hari ini, ia digunakan untuk kepentingan peribadi,” kata bekas Pengerusi UMNO Selangor itu kepada petugas media selepas meninggalkan mesyuarat itu.
Noh turut mempersoalkan hukuman yang dikenakan ke atas beliau, kerana beliau hanya dijadualkan menghadap Lembaga Disiplin parti pada 30 Jan nanti.
Noh turut berkata, beliau melihat UMNO hari ini sudah lari daripada perjuangan dan digunakan parti untuk kepentingan peribadi.
“Saya tidak boleh terima perkara ini sebab saya ada prinsip perjuangan,” katanya lagi.
Menurut beliau, beberapa nama lain turut diumumkan untuk dipecat dan digantung keahliannya pada mesyuarat tersebut.