Ketua Pengarah JAS mengaku tidak bersalah terima rasuah RM100,000
KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 59 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin
di Mahkamah Sesyen Jenayah 14.
“Mengaku tidak bersalah (mohon dibicarakan),” kata Wan Abdul Latiff.
Mengikut pertuduhan, Wan Abdul Latiff didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM100,000 daripada seorang individu, Khor Chong Hai, melalui seorang lagi individu, Lee Ham Kong, sebagai dorongan untuk mempertimbangkan rayuan pengecualian penyediaan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 15 Januari 2025 di Pejabat Ketua Pengarah JAS, Wisma Sumber Asli, Presint 4, Putrajaya, membabitkan permohonan projek pembinaan jalan berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong, Pulau Pinang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















