LUAR NEGARA

Wartawan AS diculik di Baghdad

BAGHDAD – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengesahkan seorang wartawan warga AS diculik di ibu kota ini semalam oleh kumpulan yang disyaki disokong Iran.

Menurut The Guardian yang memetik laporan AI Monitor, wartawan itu dikenal pasti sebagai Shelly Kittleson, seorang wartawan bebas yang berpengalaman luas di rantau Asia Barat dan sering melaporkan dari Iraq dan Syria.

Sementara itu, Jabatan Negara AS berkata pihaknya sedang berusaha untuk memastikan pembebasan rakyat Amerika itu “secepat mungkin”.

“Seorang individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militia yang disokong Iran, Kataib Hezballah, dipercayai terlibat dalam penculikan itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Iraq,” kata Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Awam Global, Dylan Johnson, dalam satu hantaran di X.

Iraq pula memaklumkan bahawa pihak berkuasa berjaya memintas sebuah kenderaan yang terbalik ketika cuba melarikan diri.

“Pasukan keselamatan berjaya menahan salah seorang suspek dan merampas sebuah kenderaan yang digunakan dalam jenayah itu,” menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Iraq.

“Kementerian mengesahkan bahawa usaha sedang diteruskan untuk menjejaki individu lain yang terlibat serta memastikan pembebasan wartawan yang diculik,” tambah kenyataan itu lagi.

Pegawai polis Iraq berkata, Kittleson diculik oleh empat lelaki berpakaian awam dan dibawa menaiki sebuah kenderaan.

Operasi pencarian kini tertumpu di bahagian timur ibu negara itu, ke arah yang dipercayai dituju kenderaan penculik.

Kerajaan AS sebelum ini telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya mengenai peningkatan risiko di Iraq, di mana Iran mempunyai pengaruh ke atas beberapa kumpulan bersenjata Syiah, selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button