Berpisah 33 tahun kerana sekeping roti, gambar lama jadi penyatuan dua beradik
HONG KONG – Seorang wanita di China akhirnya dipertemukan semula dengan adik lelakinya yang hilang sejak kecil selepas lebih tiga dekad berpisah hanya berpandukan sekeping gambar lama.
Li Lin, 44, dari Xiantao, wilayah Hubei terpisah daripada adiknya, Li Xin, 40, ketika mereka masih kanak-kanak selepas keluarga mereka dilanda tragedi.
Ibu mereka meninggal dunia akibat kanser, manakala bapa pula mengalami gangguan mental sebelum meninggalkan rumah dan tidak pernah kembali.
Menjadi yatim piatu pada usia 11 dan tujuh tahun, dua beradik itu terpaksa hidup dalam serba kekurangan dengan mengutip sisa makanan untuk meneruskan kehidupan.

Suatu hari, ketika berteduh daripada hujan di belakang sebuah lori, mereka tertidur dan tanpa disedari dibawa ke bandar lain.
Dalam keadaan lapar dan kebingungan, mereka merayau-rayau di jalanan sebelum seorang wanita warga emas menghampiri dan menawarkan untuk membelikan roti kepada Li Xin.
Menyangka bantuan telah tiba, Li Lin membenarkan adiknya mengikut wanita tersebut. Namun, itulah kali terakhir mereka bersama.
“Adik saya hilang ketika berada dalam jagaan saya. Rasa bersalah itu menghantui saya sepanjang hidup,” katanya memetik laporan South China Morning Post.
Menurut Li Xin, dia pernah cuba melarikan diri untuk mencari kakaknya, namun ditangkap, dipukul, dibiarkan kelaparan dan dikurung dalam bilik gelap.
Dia akhirnya berjaya meloloskan diri dan hidup sebagai pengemis di dalam bas sebelum sampai ke wilayah Guangdong di selatan China.
Di sana, dia diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga dan diberikan nama keluarga baharu, Han.
“Dalam hati, saya sentiasa tahu saya ada kakak. Saya tidak pernah berhenti mencarinya,” katanya.
Sementara itu, Li Lin menghabiskan 33 tahun hidupnya merantau dan melakukan pelbagai kerja demi membiayai pencarian adiknya.
Dia pernah mengangkat batu di tapak pembinaan, mencuci pinggan di restoran dan bekerja di kilang, semuanya dengan satu harapan untuk bertemu semula.
Tanpa akses kepada DNA ibu bapa, satu-satunya petunjuk yang dimiliki hanyalah sekeping gambar lama.
Sepanjang tempoh itu, Li Lin menjelajah hampir seluruh China, mengedarkan puluhan ribu risalah orang hilang dan membelanjakan hampir satu juta yuan (sekitar RM680,000) dalam usaha pencariannya.
Titik perubahan akhirnya berlaku tahun ini apabila seorang pegawai polis di wilayah Jiangxi menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti seorang lelaki bernama Han di Guangdong.
Dengan bantuan pihak berkuasa, ujian DNA mengesahkan lelaki itu adalah adik kandungnya.

Dua beradik tersebut akhirnya dipertemukan semula pada 23 Mac di sebuah balai polis di Jiangxi dalam suasana penuh emosi, apabila mereka saling berpelukan sambil menangis.
Lebih menyentuh hati, Li Lin membawa beg berisi roti untuk adiknya iaitu simbol kepada detik yang memisahkan mereka dan juga bukti kasih sayang yang tidak pernah pudar.
“Saya mencarinya selama 33 tahun kerana saya kehilangannya hanya kerana sekeping roti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








