JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditemukan rentung, polis syak dibunuh

KULIM – Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah ladang di Ladang Anak Kulim, semalam dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang ketika itu berada di kawasan ladang untuk memikat burung sebelum membuat laporan polis kira-kira jam 2.25 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati mayat berada dalam keadaan rentung serta sudah mula mereput.

Menurutnya, sebuah motosikal yang berada berhampiran turut ditemukan dalam keadaan rentung.

“Siasatan lanjut mendapati pihak polis berjaya mengesan waris mangsa berdasarkan pengecaman ke atas motosikal tersebut.

“Waris memaklumkan seorang ahli keluarga lelaki berusia 77 tahun dilaporkan keluar rumah sejak empat hari lalu dan tidak pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pengecaman mangsa hanya dibuat berdasarkan motosikal berkenaan, manakala pengesahan identiti sebenar akan dilakukan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Susulan penemuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 68 tahun kira-kira jam 1 pagi Ahad bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek telah direman selama empat hari sehingga 1 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu polis bagi melengkapkan siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button