Had umur 16 tahun guna media sosial disifatkan ‘pelindung digital’
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial yang dijangka dilaksana pada separuh kedua tahun ini disifatkan sebagai “pelindung digital” yang kritikal demi kesejahteraan generasi muda.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, langkah itu merupakan pendekatan strategik dalam membentuk jati diri kanak-kanak secara holistik selain memastikan persekitaran siber lebih selamat.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut melengkapkan usaha kerajaan yang mewajibkan platform media sosial memohon lesen operasi bermula Januari 2025 bagi meningkatkan akauntabiliti penyedia perkhidmatan terhadap keselamatan pengguna.
“Tindakan melarang individu bawah 16 tahun memiliki akaun media sosial boleh diibaratkan seperti tali pinggang keledar dalam aspek keselamatan digital generasi muda,” memetik Bernama online.
Beliau berkata, keperluan kawalan itu semakin mendesak susulan beberapa insiden melibatkan remaja yang dipengaruhi kandungan serta interaksi tidak sihat di media sosial.
Dari sudut psikologi, jelasnya, perkembangan otak kanak-kanak dan remaja awal yang belum matang menyebabkan mereka sukar mengawal impuls serta menilai risiko jangka panjang dengan tepat.
“Golongan ini lebih mudah terdedah kepada kesan negatif seperti gangguan kesihatan mental, buli siber serta masalah keyakinan diri,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggunaan teknologi pengesahan identiti seperti eKYC serta integrasi sistem MyDigital ID bagi memastikan pengesahan umur pengguna dilaksanakan secara lebih berkesan.
Dalam pada itu, katanya, penyedia platform media sosial perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi memastikan pematuhan terhadap had umur tersebut, termasuk berdepan tindakan tegas sekiranya gagal berbuat demikian.
Beliau turut menegaskan peranan ibu bapa dan penjaga dalam meningkatkan literasi digital amat penting agar mereka tidak memintas sekatan atau mewujudkan akaun bagi pihak anak-anak.
Mengulas langkah Indonesia yang mula menguatkuasakan sekatan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, beliau berkata pendekatan itu wajar dicontohi namun perlu disesuaikan dengan konteks pelaksanaan di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








