BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

DRE Coffee lancar cawangan pertama 24 jam di Cyberjaya, perkenal konsep kopi generasi baharu

CYBERJAYA – DRE Coffee melancarkan cawangan komersial pertamanya di sini yang beroperasi 24 jam sehari, sekali gus memperkenalkan konsep kopi generasi baharu berteraskan teknologi kecerdasan buatan.

Pembukaan itu menandakan langkah awal jenama berkenaan menembusi pasaran komersial tempatan dengan mengetengahkan model ‘Drink, Refer and Earn’ atau ‘Minum, Kongsi dan Jana’.

Pengasasnya, Danish Adam Mohd. Fadzil, 22, berkata, idea penubuhan DRE Coffee tercetus ketika beliau melanjutkan pengajian di Seattle, Amerika Syarikat yang terkenal sebagai antara pusat budaya kopi paling berpengaruh di dunia.

“Sepanjang berada di sana, saya bukan sahaja menikmati kopi, malah mendalami budaya di sebaliknya termasuk memahami bagaimana jenama global seperti Starbucks, Blank Street, Dutch Bros dan Luckin Coffee membina komuniti di sekeliling jenama masing-masing.

“Pengalaman itu menjadi titik tolak kepada penubuhan DRE Coffee yang bukan sekadar menjual kopi, tetapi membina ekosistem komuniti berteraskan nilai, pengalaman dan peluang bersama,” katanya.

DRE Coffee
Cawangan DRE COFFEE di Cyberjaya beroperasi 24 jam, menyediakan ruang komuniti untuk bekerja, belajar dan bersosial.

Menurutnya, syarikat itu merancang membuka cawangan kedua di Amerika Syarikat pada 2027 sebagai simbol perjalanan kembali ke lokasi asal idea tersebut berkembang.

Beliau berkata, konsep ‘Minum, Kongsi dan Jana’ bukan sahaja menawarkan kopi premium, malah membuka peluang pendapatan dan ganjaran kepada komuniti.

“Pelanggan boleh menikmati pulangan tunai, sistem rujukan lima peringkat, insentif kepada kakitangan serta dana komuniti daripada setiap transaksi.

“Pendekatan ini memecahkan norma industri kopi tradisional dengan mengagihkan nilai kepada pelanggan, kakitangan dan komuniti,” ujarnya.

Danish berkata, DRE Coffee bermula daripada minat peribadinya membancuh kopi sebelum berkembang kepada usaha membina ekosistem yang memberi manfaat bersama.

“Kami tidak mahu menjadi sekadar jenama kopi, sebaliknya membina satu gerakan untuk orang berhubung, berkongsi dan menjana bersama,” katanya.

Beliau berkata, DRE Coffee mengekalkan kualiti konsisten melalui penggunaan mesin berteknologi tinggi serta sokongan kecerdasan buatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada barista.

“Kafe ini berfungsi sebagai hab komuniti 24 jam merangkumi ruang bekerja, pembelajaran, pertemuan dan interaksi sosial,” katanya.

Mengulas mengenai golongan sasaran, beliau berkata, DRE Coffee memberi tumpuan kepada golongan muda dan Generasi Z, pekerja pejabat, pelajar institusi pengajian tinggi serta komuniti aktif waktu malam.

“Pada fasa awal, kami menyasarkan jualan 300 hingga 500 cawan sehari sebelum meningkat kepada 700 hingga 1,000 cawan sehari.

“Kami juga berhasrat memperluas kehadiran ke lokasi strategik lain di Malaysia serta memperkukuh kedudukan antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button