Cuaca panas: Sekolah diminta tangguh aktiviti luar jika suhu melebihi 35°C
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya meningkatkan persediaan serta melaksanakan langkah proaktif bagi menghadapi cuaca panas bermula sesi persekolahan selepas Cuti Penggal 1.
KPM memaklumkan antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu persekitaran melebihi 35 darjah Celsius.
“Pihak sekolah juga perlu memantau aktiviti murid yang berisiko terdedah kepada cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka sentiasa terpelihara.
“Institusi pendidikan perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi selain menggalakkan murid membawa air sendiri ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPM turut menasihatkan agar murid sentiasa mengambil air dalam kuantiti mencukupi bagi membantu mengawal suhu badan sepanjang tempoh cuaca panas.
Bagi sekolah berasrama, kementerian itu memaklumkan bekalan air minuman perlu disediakan kepada murid sekiranya keadaan menjadi kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan air.
Dalam masa sama, pihak sekolah diminta sentiasa berwaspada serta menjalin kerjasama dengan klinik dan hospital berhampiran sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan melibatkan murid.
KPM turut mengingatkan, semua institusi pendidikan perlu peka terhadap situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Selain itu, pertimbangan boleh diberikan kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.
“Aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu dalam memastikan persekitaran pembelajaran kekal kondusif,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








